Wednesday, April 28, 2010

AKTIVITI 5PS





PEMANASAN GLOBAL


Penyusutan lapisan ozon

Pencemaran udara akan menyebabkan berlaku pemanasan global akibat penyusutan lapisan ozon yang melindungi bumi daripada sinaran terus cahaya matahari. Pendedahan secara terus kepada cahaya matahari boleh menyebabkan kanser kulit. Pancaran matahari yang terik juga menyebabkan berlakunya pencairan kepada ais di bahagian kutub bumi dan menyebabkan berlakunya ketidakseimbangan ekosistem di dunia pada masa kini.


Kesan rumah hijau dan pemanasan global

Kesan yang paling ketara dan sedang hangat dibincangkan oleh seluruh negara kini adalah kesan pemanasan global yang disebabkan oleh kesan rumah hijau. Kenaikan suhu bumi dan penipisan lapisan ozon menjadi punca kepada pemanasan global yang dapat dirasakan oleh seluruh dunia. Kenaikan suhu bumi disebabkan oleh pembebasan gas-gas karbon dioksida dan terkumpul di dalam udara.

Gas karbon dioksida yang terlalu banyak menyebabkan haba di bumi terperangkap dan akhirnya suhu bumi meningkat dan persekitarannya menjadi panas. Penyusutan lapisan ozon juga menyebabkan kejadian pemanasan global ini. Kesanya adalah permukaan bumi menjadi panas, ekosistem terganggu, banjir berlaku secara kerap dan juga berlakunya kejadian alam yang tidak normal.

Monday, April 26, 2010

KESAN-KESAN PENCEMARAN UDARA


Hujan asid

Hujan asid berlaku disebabkan oleh penggabungan gas sulfur dioksida dan nitrogen oksida dengan air hujan seterusnya menjadi asid sulfurik dan asid nitrik. Asid ini akan terkumpul di dalam awan dan bergerak ke tempat-tempat lain. Asid tersebut akan turun bersama-sama dengan hujan dan menimpa hidupan yang terdapat di dunia. Kesanya, ia membunuh tumbuh-tumbuhan dan juga hidupan air. Ia juga boleh menghakis pakaian, kertas dan bahan binaan bangunan. Selain itu, asid tersebut juga meresap ke dalam tanah dan menyebabkan kualiti tanah berkurang dan menjadikannya tidak subur.


Haiwan

Haiwan akan terancam atau mati akibat dari pencemaran udara. Ini disebabkan dari udara yang memasuki paru-paru haiwan dan makanan dari sumber tumbuhan yang tercemar kesan pencemaran udara.


Tumbuhan

Kesan kepada tumbuhan adalah seperti mengalami kerosakan seperti nekrosis (keguguran daun), klorosis (pertukaran warna), dan pertumbuhan terbantut.

Kesan ini akan menyebabkan bumi kekurangan sumber makanan dan ekonomi sebahagian daripada penduduk juga terganggu.




Kesihatan manusia

Kesan utama pencemaran udara kepada manusia adalah sistem pernafasan. Gas-gas seperti karbon monoksida akan meracuni sistem pengangkutan oksigen dalam darah akan melambatkan tindak balas manusia dan kesan seterusnya menyebabkan mengantuk, penyakit lelah dan mengurangkan fungsi paru-paru.Bahan tercemar seperti nitrogen oksida boleh menyebabkan edema dan pendarahan pulmonari. Bahan tercemar seperti gas ozon boleh menimbulkan kerengsaan menyebabkan inflamasi paru-paru dan keupayaan bergerak. Habuk, asap, kabus, wap atau bahan-bahan lain juga menghalang penglihatan mata dan juga menjejaskan mata manusia.Kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan sebanyak tiga juta manusia mati setiap tahun disebabkan oleh pencemaran udara. Ia adalah tiga kali lebih tinggi daripada jumlah kematian yang disebabkan kemalangan kenderaan.

PUNCA-PUNCA PENCEMARAN UDARA (2)

PEMBAKARAN TERBUKA


Pembakaran pokok tua di kawasan ladang untuk tujuan penanaman semula banyak partikel jelaga. Partikel jelaga ini boleh diterbangkan pada jarak yang jauh oleh angin dan inilah punca jerebu yang kerap menyelubungi ruang udara Malaysia. Api dari pembakaran ini bukan sahaja menghasilkan asap yang mencemarkan tetapi ia juga memusnahkan segala fauna dan flora di sekitarnya.




AKTIVITI HARIAN

Isi rumah menyumbang kepada pencemaran melalui penggunaan tenaga untuk mesin dan perkakas elektrik seperti peti sejuk. Peti sejuk dan penyaman udara bukan sahaja menggunakan banyak tenaga tetapi alat-alat ini juga mencemarkan udara apabila cecair penyejuk yang digunakan melepaskan Klorofluorokarban (CFC) ke udara seterusnya menipiskan lapisan ozon. Peralatan rumah seperti penyembur aerosol yang mengandungi CFC juga adalah punca pencemaran udara.

PUNCA-PUNCA PENCEMARAN UDARA

PENJANAAN KUASA

Hampir kesemua tenaga elektrik dihasilkan dengan membakar bahan api fosil seperti gas asli, minyak dan arang batu. Loji-loji janakuasa jenis ini mempunyai tahap kecekepan antara 35 dan 40 peratus di mana tenaga selebihnya bertukar menjadi haba. Pada masa ini, Malaysia menjana 86 peratus keperluan tenaga elektriknya melalui loji janakuasa konvensional manakala baki 14 peratus dihasilkan oleh stesen janakuasa hidro.



KENDERAAN MOTOR

Masyarakat moden amat bergantung kepada pengangkutan bermotor seperti kereta, lori dan keretapi. Setiap pergerakan kenderaan motor menggunakan tenaga yang banyak dan hampir kesemuanya dihasilkan dengan membakar bahan api fosil, yang menghasilkan asap dan bunyi bising yang membawa kesan buruk kepada keadaan setempat. Kualiti udara persekitaran amat bergantung kepada jenis sistem pengangkutan yang digunakan, jenis sumber tenaga, tahap teknologi enjin dan juga jumlah tenaga yang diperlukan. Di dalam sektor pengangkutan, kenderaan motor adalah penyumbang utama kepada pencemaran udara. Penggunaan pengangkutan awam akan mengurangkan impak pencemaran ke atas alam sekitar. Dalam tahun 2004, 14 juta kenderaan berdaftar digunakan di Malaysia, angka ini dua kali ganda berbanding dengan sedekad lalu. Angka ini akan terus meningkat dari tahun ke tahun dengan meningkatnya pendapatan, pemindahan luar bandar ke bandar dan kekurangan kemudahan pengangkutan awam yang cekap.


AKTIVITI PERINDUSTRIAN & PEMBANGUNAN


Perkembangan ekonomi Malaysia bergantung kepada industri pembuatan, terutamanya elektronik, kimia dan juga getah. Namun kadar pengeluaran yang kian meningkat telah menyebabkan penambahan pada pelepasan pencemaran gas organik dan bukan organik, bahan kimia dan juga habuk. Pelbagai jenis industri menghasilkan bahan cemar yang berbeza. Contohnya industri kimia melepaskan pencemar yang mengandungi pelbagai kompaun yang berasaskan nitrogen dan sulfur, manakala kilang penapis minyak mengeluarkan asap yang mengandungi sulfur dioksida dan hidrokarbon. Industri logam pula bertanggungjawab mencemarkan udara dengan sulfur dioksida dan habuk toksik. Sesetengah bahan pencemar, terutamanya karbon dioksida adalah merupakan gas rumah hijau yang amat memudaratkan boleh mengakibatkan perubahan iklim seluruh dunia. Selain pelepasan bahan toksik ke udara, pembangunan premis atau zon industri tanpa perancangan teliti dan kawalan akan mengakibatkan pencemaran bunyi dan getaran. Aktiviti di tapak pembinaan dan bunyi kipas ekzos di kilang-kilang adalah antara contoh-contoh aktiviti yang menghasilkan paras bunyi yang tinggi.


MUKADIMAH


Pencemaran udara merupakan satu keadaan yang melibatkan pengenalan sebarang bahan kimia, jirim zarahan atau bahan biologi yang boleh menyebabkan mudarat atau ketidakselesaan kepada manusia atau organisma hidup lain, atau merosakkan alam sekitar, ke dalam dalam atmosfera. Contoh pencemar udara ialah seperti gas karbon dioksida, sulfur dioksida, kloroflorokarbon, bau-bauan, logam toksik seperti plumbum dan tembaga dan sisa radioaktif.